Salam buat semua.
Setelah sekian lama berlalu, namum ia tetap berbekas dihati.
Sukar untuk diluahkan, tapi tak tertanggung menahan.
Ramadhan dan Syawal datang dan pergi.
Seluruh umat Islam menyambut dengan kemeriahan.
Kegembiraan dan rasa kesyukuran pada ilahi.
Ayahanda kompasakti telah 8 tahun meninggalkan kompasakti. Al-fatihah untuk ayahanda. Kenangan bersama ayahanda amat terasa dikala ramadhan tiba, dan akan lebih mengusik saat fajar syawal menjelma.
Suatu ketika di Ramadhan yang lalu...
Kami paling suka Ramadhan. Kerana waktu ini ayahanda akan beli juadah berbuka yang istemewa, berbeza di hari biasa. Ayahanda paling gemar beli cincau yang belum dipotong dan sebongkah air batu. Dibawa pulang dan kami yang akan cincang sehalusnya sebelum dicampur air batu. (rumah kami belum ada peti ais). Kami jadikan bukan se-jug tapi dijadikan satu bekas air yang besar. Kemudian ada ayam percik yang dicucuk dibatang buluh. Masih panas dan berasap.. sedap. Kuih muih pula air tangan ibunda. Kekadang pengat, kekadang bubur kacang hijau. Karipap, lepat pisang, nagasari, koci, keria.. etc. Tapi yang paling ayahanda suka.. bubur. Dan kami juga suka apa jua yang terhidang.
Rumah kami terletak di hujung kampung. Agak terasing dan terpisah. Rumah kami jaraknya betul2 di tiang letrik ke-50. Kami hanya sebiji motor. Jadi hanya ayahanda yang solat terawih di surau. Surau ini terletak di 1/3 kampung kami. Kami hanya di rumah kerana tiada kenderaan lain. Lagipula, jalan kampung tiada lampu dan berturap tanah merah saja. Gelap segelapnya jika tiada sinaran bulan.
Seminggu sebelum raya, ayahanda beli se-tong minyak tanah. Hampir 20 biji pelita ayahanda sediakan. Kemudian ayahanda cantas 20 batang pelepah kelapa sawit. dan letak paku dihujung pelepah tersebut. Ayahanda akan pacakkan pelepah ini di kiri kanan jalan. Rumah kami perlu menyeberang parit. Bermula di titi dan berakhir di halaman rumah. Pelita terpasang bagaikan sedang berpesta. Ayahanda kata itu untuk MALAM 7 LIKUR. Tugas kami adalah memastikan pelita terpasang sebelum magrib. Terang benderang halaman rumah kami. Sangat cantik.
Ibunda pula mulai sibuk menjahit baju tuk kami sekeluarga. Bunyi mesin jahit tak henti2 sehingga 7 helai baju siap. Kain baju kami selalunya sama corak sekeluarga. Bila siap, kami akan terus cuba. Sehelai seorang. Kami juga akan ada kasut raya baru. Berlainan saiz tapi tetapi jenis yang sama. Selain menjahit, ibunda juga akan mula membuit kuih raya. Tepung dan gula telah sedia dijemur dalam hampir 7 dulang seawal Ramadhan tiba. Ibunda akan buat rempeyek, kerepek pisang, buah rotan, semperit, bahulu dan kek pelangi. Kakak2 pula akan buat biskut2 moden. Mencuci cermin tingkap (ada 12 tingkap semuanya) adalah tugas kami. Langsirnya ibunda juga yang jahit sendiri. Malam raya, kami akan pasang langsir itu. Kusyen juga akan bertukar sarung.
Sehari sebelum raya, dapur kami sangat sibuk. Ketupat dan lepat terjerang di periuk besar di atas kayu api. Rendang dan kari ayam juga sedang dimasak. Sayur lodeh dan ayam kicap pun ada. Memang kalau diikutkan kuantiti ini banyak sangat tapi menjelang petang nanti, sumer tuh tinggal sedikit jer. Sebabnya, adik-adik ayahanda akan datang membawa rantang (mangkuk tingkat). Rantang bertukar tangan sekali dengan isinya. Ayahanda ada 8 adik-beradik. Ayahanda abang k-2. Sebagai abang yang tua, kami hanya menunggu saja ketibaan rantang tersebut. Sebab itu kami masak banyak2.
Ramadhan kini...
Kami sekeluarga dah tak duduk di rumah ayahanda. Kami dah takde kampung untuk di panggil kampung halaman. Rumah yang ayahanda dirikan juga telah lama rebah dimakan anai2. Kakak2, abang dan adik2 masing2 telah berkeluarga. Ibunda tinggal di rumah sewa dibandar kecil. Kompasakti antara yang terakhir meninggalkan rumah ibunda tuk berhijrah ke utara. Tinggallah ibunda bersama adik bongsu kompasakti yang masih bersekolah. Sebak juga bila mengenangkan tiada lagi kemeriahan menyambut Ramdhan. Ibunda tentunya lebih merasa kepiluan ini kerana tugas membuat kuih raya, menghias rumah dan menbuat persediaan raya telah kompasakti ambil sejak ketiadaan ayahanda. Rasa sayu menusuk dikalbu bila adik mengririmkan sms:
'kami tak buat apa pun lagi. biskut raya pun takde..'
Dikejauhan ini, kompasakti sedang bertungkus lumus menyiap baju raya tuk ibunda dan adik2. Juga membuat beberapa biskut raya untuk mereka. Dan langsir baru..
Maafkan kompasakti kerana tak berkesempatan meng-update-kan blog sekerap selalu. Ada tugas yang terpikul dibahu kompasakti. Maaf yer..

2 comments:
al fatihah utk arwah ayahanda kompassakti
moga rohnya aman di sana
bertuah org tua kompas sakti punya anak yg bertanggung jawab spt anda
keluarga diutamakan melebihi drp segalanya
sejuk perut ibu kompas sakti
moga syawal yg bakal hadir menjanjikan seribu kerahmatan buat kompas sakti, ibu dan adik beradik lain
selamat hari raya
mohon maaf andai ada terkasar bahasa
moga slmt pulang ke pangkuan ibu tercinta
:)
Mekasih bess.
Selamat Hari Raya tuk bess sekeluarga.
Sama2 kita merasai kegembiraan dan kemeriahan berhari raya nanti.
Maaf zahir batin.
kira 0-0 yer.
Post a Comment